Komuniti
‘Swinger’: Tabiat bertukar pasangan seks patut dianggap penyakit psikiatri – Pakar

- Menurut Pakar Psikiatri, Profesor Dr Ramli Musa, dalam bidang psikologi, kecenderungan kepada tingkah laku seksual songsang atau luar tabii telah lama dikenal pasti sebagai sebahagian daripada masalah psikiatri — menerusi istilah Paraphilia (digunakan psikiatri untuk merujuk pelbagai bentuk keinginan seksual di luar norma kebiasaan).
- Terdapat lapan contoh Paraphilia yang disenaraikan dalam DSM-5.
- Setakat ini ‘swinger’ atau keseronokan seks dengan melihat pasangan melakukan seks dengan lelaki lain atau bertukar-tukar pasangan tidak termasuk dalam senarai tersebut.
- “Namun pada pandangan saya, ‘swinger’ atau kecenderungan seseorang bertukar pasangan suka sama suka, atau keghairahan seksual dengan melihat pasangannya atau isteri sendiri melakukan seks dengan lelaki lain amat luar tabii dan amat pelik di luar dari norma masyarakat dan agama Islam — Ia sememangnya amat jijik dan sepatutnya juga dianggap penyakit psikiatri,” katanya.
KUALA LUMPUR — Seorang pakar psikiatri berpandangan bahawa kegiatan ‘swinger’ iaitu kecenderungan seseorang bertukar pasangan suka sama suka, atau memperoleh keghairahan seksual dengan melihat pasangan sendiri melakukan seks dengan lelaki lain sepatutnya dianggap sebagai penyakit psikiatri.
Menurut Profesor Dr Ramli Musa, ini kerana tingkah laku sedemikian sangat luar tabii dan pelik, sekali gus bertentangan dengan norma masyarakat serta agama Islam, selain ia menjijikkan.
Jelasnya, dalam bidang psikologi, kecenderungan kepada tingkah laku seksual songsang atau luar tabii telah lama dikenal pasti sebagai sebahagian daripada masalah psikiatri — menerusi istilah Paraphilia (digunakan psikiatri untuk merujuk pelbagai bentuk keinginan seksual di luar norma kebiasaan).
Menurut beliau Paraphilia disenaraikan dalam buku rujukan utama psikiatri Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) secara konsisten sebagai gangguan kesihatan mental dan terdapat lapan contoh Paraphilia yang dimasukkan dalam DSM-5.
Bagaimanapun, setakat ini ‘swinger’ atau keseronokan seks dengan melihat pasangan melakukan seks dengan lelaki lain atau bertukar-tukar pasangan tidak termasuk dalam senarai tersebut.
“Antara tabiat atau kecenderungan tingkah laku seks luar tabii disenaraikan dalam Paraphilia adalah Frotteurism (tabiat suka meraba), voyeurism (tabiat suka mengintai), exhibitionism (tabiat mendapatkan kenikmatan seks dengan membuka baju menunjukkan kemaluan di tempat awam), fetishistic disorder (mendapat kenikmatan seks melalui objek atau pakaian wanita), pedophilic disorder (keinginan seksual pada kanak-kanak sebelum baligh), sexual masochism disorder, sexual sadism disorder (keghairahan seksual melalui aksi kesakitan atau disakiti), dan transvestic disorder (keseronokan seksual melalui penukaran pakaian pada Jantina berlawanan)
“Namun pada pandangan saya, swinger atau kecenderungan seseorang bertukar pasangan suka sama suka, atau keghairahan seksual dengan melihat pasangannya atau isteri sendiri melakukan seks dengan lelaki lain amat luar tabii dan amat pelik di luar dari norma masyarakat dan agama Islam — Ia sememangnya amat jijik dan sepatutnya juga dianggap penyakit psikiatri.
“Mungkin masa belum sampai untuk dimasukkan di dalam DSM-5… Terma Swinger ini juga ada kaitan dengan terma threesome atau group swinger di mana aktiviti seks dilakukan dengan bertiga atau lebih atau dalam berkumpulan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kewujudan sebuah grup Facebook yang didakwa menjadi platform buat kelompok lelaki atau suami mencari pasangan lain bagi melakukan hubungan seks, termasuk bersama isteri orang atau bertukar pasangan.
Ia juga digelar sebagai ‘Group Swinger’ atau kegiatan bertukar-tukar pasangan bagi melakukan hubungan seks bebas yang kini mempunyai lebih 11,500 pengikut di Facebook, dengan kebanyakannya didakwa melibatkan kelompok kaum Melayu.
Mengulas lanjut, Dr Ramli menjelaskan selain tabiat itu menyalahi norma masyarakat, hukum agama (haram) dan menyalahi undang-undang, ia juga menjerumus kepada seks bebas, dan sememangnya mendedahkan pasangan kepada jangkitan kuman, HIV, sifilis gonorea dan lain.
Tambahnya, perbuatan itu juga menyebabkan benih zuriat tidak dapat ditentukan apabila mereka bertukar-tukar pasangan dalam melakukan hubungan seks. — The Merdeka Times
