Connect with us

Agama

(VIDEO) Dr Mahathir terbit buku Addeen, Seru umat Islam jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) & Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan)

KUALA LUMPUR — Negarawan ulung negara, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam melakar satu lagi sumbangan intelektual dan rohaniah dengan melancarkan karya terbaharu berjudul “Addeen”, yang mengangkat pendekatan reflektif dan spiritual dalam menghargai keindahan serta kebijaksanaan al-Quran sebagai pedoman kehidupan.

Buku Addeen yang dijual pada harga RM100 itu merupakan catatan peribadi Dr Mahathir yang menghimpunkan surah-surah terpilih daripada al-Quran, lengkap dengan terjemahan, renungan, serta tadabbur beliau terhadap ayat-ayat suci tersebut.

Ia diterbitkan sebagai suatu usaha ikhlas untuk berkongsi pengalaman rohani beliau dalam memahami mesej-mesej ilahi yang menjadi panduan sepanjang kehidupan beliau, baik sebagai pemimpin negara mahupun sebagai seorang Muslim yang sentiasa mencari kebenaran dan keinsafan.

Mengambil masa lima tahun untuk menulis buku tersebut, Dr Mahathir berkata Al-Quran memberi penjelasan berkenaan apa itu agama Islam yang mana diantaranya ia menjelaskan tentang cara hidup orang Islam.

“Itu yang saya tumpukan iaitu cara hidup, Addeen cara hidup orang Islam dan saya cuba seboleh-bolehnya mengikuti panduan yang terdapat sebagai cara hidup orang Islam. 

“Tak semua lah ada yang saya pun juga menyeleweng ataupun tidak ikut sepenuhnya panduan yang terdapat dalam Al-Quran, tetapi kebanyakan daripada yang saya dapat amalkan tidak bertentangan ajaran Al-Quran.

Foto: Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani buku Addeen.

“Saya berpendapat kalau kita ikut ajaran Islam Addeen cara hidup Islam daripada Al-Quran, kita akan jadi manusia yang berjaya, bukan sahaja berjaya di akhirat, tetapi berjaya di dunia ni. 

“Kejayaan kita di dunia ni tak kurang pentingnya daripada kejayaan kita di akhirat kerana kita semasa di dunia, membuat persiapan untuk masa kematian kita ataupun selepas kita sudah ke akhirat dan kalau kita hidup dalam keadaan yang tidak baik, iman kita pun akan terjejas,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku Addeen oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Ahad.

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melakukan gimik Pelancaran Buku Addeen ketika di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya

Pelancaran buku setebal 514 muka surat itu dirasmikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dua kali berharap semua Muslim menggunakan Al-Quran sebagai panduan cara hidup mereka.

Ini kerana menurut beliau dengan menjadikan kitab tersebut sebagai panduan, kita dapat menggelakkan daripada berlakunya peristiwa seperti di Gaza dan penghinaan ke atas Islam juga tidak akan berlaku, begitu juga Islam tidak akan digelar sebagai agama pengganas.

Tegasnya, Islam bukan agama pengganas tetapi orang Islam yang menjadi pengganas adalah kerana mereka tidak mengikut ajaran Islam sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran, sebaliknya mereka terikut pemimpin yang mempunyai agenda tertentu dan berbuat keburukan dilarang agama Islam.

Dan saya berpendapat sedikit sebanyak, kejayaan kalau boleh dikatakan kejayaan saya, dia berasas kepada pegangan kepada cara hidup orang Islam… Saya harap buku ini dapat sedikit sebanyak memberi pandangan saya berkenaan agama saya dan saya tidak boleh terima, kononnya agama Islam ini tidak baik. 

“Saya tak boleh terima… Patutnya yang tak baik, ialah orang Islam, bukan agama Islam dan kalau agama Islam yang sebenarnya datangnya daripada wahyu Allah SWT kepada Muhammad yang dicatat dalam Al-Quran.

“Saya berdoa saya berminta, supaya sedikit sebanyak kita kembali kepada Al-Quran supaya kita dapat pulih semula agama kita dan kita tidak lagi akan dituduh sebagai pengganas dan diherdik, ditekan, dibunuh dengan sewenang-wenangnya seperti yang berlaku sekarang,” katanya dengan nada yang sebak. — The Merdeka Times



Author

OSZAR »