Terkini
(VIDEO) Kes hina mahkamah: Permohonan kebenaran merayu Maria Chin ditolak Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR — Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan kebenaran merayu dikemukakan Maria Chin Abdullah berhubung isu penghinaan mahkamah, melibatkan kuasa untuk Mahkamah syariah membuat keputusan berkenaan kuasa penghinaan mahkamah (contempt of court) yang terdapat dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Peguam pemerhati bagi pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati undang-undang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sudah pun mantap (jelas), khususnya merujuk kepada Perkara 121 dan 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, dalam konteks ini, Mahkamah Persekutuan dengan jelas memutuskan bahawa bidang kuasa untuk pengkomitan (menghina mahkamah) di Mahkamah Syariah sama ada dalam Seksyen 229 dan (Seksyen) 151 dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“(Ia) bukan (bidang kuasa) Mahkamah Sivil boleh (untuk) menyemak penghakiman apa yang dilakukan Mahkamah Syariah,” katanya ketika ditemui Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.
Maria yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya pada 2022 dilapor telah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan, kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka.
Hukuman itu dijatuhkan selepas artikel diterbitkan Maria selaku responden pada 5 September 2019 berkaitan kes membabitkan ahli perniagaan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emilia Hanafi didapati jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah serta menghina Mahkamah Syariah.
Pada 10 September 2019, SM Faisal dan ibunya, Datin Seri Zaleha Ismail selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap Maria dan permohonan itu dibenarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Oktober 2019.
Perjalanan kes itu menyaksikan pada Mei 2021, Maria memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya kerana mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia.
Maria selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, MAIWP dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga ketiga.
Antara lain Maria memohon satu perintah certiorari (perintah mahkamah ketepikan keputusan dibuat mahkamah lebih rendah) membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya, kerana ia bertentangan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998) (Akta 585).
Beliau juga memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan responden ketiga (Jabatan Kehakiman Syariah) untuk membenarkan prosiding pengkomitan terhadapnya atas alasan ia adalah ‘mala fide’ (berniat jahat) kerana proses permulaan prosiding itu ternyata bercanggah peruntukan undang-undang seperti termaktub dalam Akta 585 dan Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi memberikan Maria kebenaran untuk memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya, tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu tahun lalu.
Dalam masa sama, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Maria untuk menggantung perintah itu sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan di mana ia telah diputuskan hari ini. — The Merdeka Times
