Connect with us

Terkini

Berhenti normalisasikan maksiat, selamatkan generasi pewaris – Mohd Na’im

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
  • Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang bimbang dengan laporan 1,091 pelajar IPT dikesan hidap HIV antara 2020 hingga 2024, dengan 222 kes baharu dilaporkan 2024 berkata pendidikan, kesedaran serta penguatkuasaan perlu berjalan seiring bagi menangani masalah terbabit.
  • Agensi agama, NGO dan institusi pendidikan mesti berganding bahu selamatkan generasi pewaris negara.
  • “Kepada para pelajar dan belia, peliharalah maruah diri dan pegang teguh nilai-nilai murni. Agama bukan sekadar ilmu untuk dipelajari, tetapi juga pedoman hidup yang perlu diamalkan. Hidup berprinsip, bukan sekadar mengikut arus,” katanya menerusi catatan Facebook.

 

KUALA LUMPUR — Tindakan menormalisasikan perbuatan maksiat atas nama kebebasan peribadi mesti dihentikan dan masyarakat perlu bangkit membina benteng akhlak serta rohani, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau yang bimbang dengan laporan bahawa 1,091 pelajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dikesan menghidap HIV antara 2020 hingga 2024, dengan 222 kes baharu dilaporkan tahun lepas berkata pendidikan, kesedaran serta penguatkuasaan perlu berjalan seiring bagi menangani masalah terbabit.

Sehubungan dengan itu, Mohd Na’im berkata agensi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan mesti berganding bahu untuk menyelamatkan generasi pewaris negara.

“Data ini sungguh memilukan. Majoriti kes melibatkan remaja berusia 18 hingga 19 tahun. Sebagai menteri yang memikul amanah hal ehwal agama, saya amat risau dengan trend yang membimbangkan ini.

“Kepada para pelajar dan belia, peliharalah maruah diri dan pegang teguh nilai-nilai murni. Agama bukan sekadar ilmu untuk dipelajari, tetapi juga pedoman hidup yang perlu diamalkan. Hidup berprinsip, bukan sekadar mengikut arus,” katanya menerusi catatan Facebook.

Pendedahan mengenai jumlah jangkitan itu dibuat Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Media Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan 2024 di ibu negara, Selasa lepas.

Lukanisman turut mengakui wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa.– BERNAMA

Author

OSZAR »