Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Yaman tenggelamkan kapal milik syarikat berkaitan Israel

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang menunjukkan insiden tenggelamnya kapal M/V Magic Seas.
  • Menurut Angkatan Tentera Yaman, tindakan ketenteraan itu diambil selepas pemilik kapal tersebut dilapor melanggar larangan memasuki pelabuhan-pelabuhan yang diduduki rejim Zionis Israel.
  • Jurucakap tentera Yaman, Yahya Saree, mengesahkan pada Isnin bahawa kapal Magic Seas telah “ditenggelamkan sepenuhnya” selepas diserang menggunakan dua bot peledak, lima peluru berpandu balistik dan pelayaran, serta tiga unit dron.
  • Kru kapal dibenarkan meninggalkan kapal dengan selamat sebelum kapal tenggelam.

 

YAMAN – Kumpulan bersenjata Ansar Allah di Yaman telah menyiarkan rakaman video pada Selasa yang menunjukkan detik mereka menenggelamkan kapal dagang Magic Seas yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah.

Menurut Angkatan Tentera Yaman, tindakan ketenteraan itu diambil selepas pemilik kapal tersebut dilapor melanggar larangan memasuki pelabuhan-pelabuhan yang diduduki rejim Zionis Israel.

Rakaman tersebut dimulakan dengan amaran dalam bahasa Inggeris daripada Pasukan Tentera Laut Yaman yang mengarahkan kapal Magic Seas berhenti serta-merta untuk pemeriksaan dan memberi amaran tentang akibat sekiranya arahan itu diingkari.

Namun kapal tersebut enggan mematuhi arahan.

Suara dari atas kapal kedengaran menyatakan bahawa laluan yang diambil adalah “laluan sah” dan meminta pasukan Yaman agar tidak campur tangan.

Beberapa saat kemudian, rakaman menunjukkan kapal tersebut diserang menggunakan dron laut dan peluru berpandu.

Letupan besar menggegarkan kapal tersebut, manakala kepulan asap dan api membakar dek kapal, menyebabkan kerosakan teruk.

Rakaman itu turut memaparkan isyarat kecemasan daripada kru kapal, yang melaporkan hentaman secara langsung dan menyatakan kapal sedang dimasuki air dan mula tenggelam. Kru kapal turut merayu agar diselamatkan.

Klip video kemudian menunjukkan pejuang bersenjata dan bertopeng menaiki kapal yang telah rosak teruk, disusuli dengan visual kerosakan struktur dan paras air yang semakin naik sehingga kapal tersebut tenggelam sepenuhnya.

Jurucakap tentera Yaman, Yahya Saree, mengesahkan pada Isnin bahawa kapal Magic Seas telah “ditenggelamkan sepenuhnya” selepas diserang menggunakan dua bot peledak, lima peluru berpandu balistik dan pelayaran, serta tiga unit dron.

Saree menjelaskan bahawa operasi tersebut merupakan tindak balas terhadap pelanggaran berulang oleh syarikat pemilik kapal itu, yang menghantar tiga kapal ke pelabuhan Israel dalam tempoh seminggu sebelum serangan meskipun telah diberi amaran.

Beliau turut memaklumkan bahawa kru kapal telah dibenarkan meninggalkan kapal dengan selamat setelah kapal mula tenggelam.

Saree menegaskan bahawa Ansar Allah tidak akan teragak-agak menggunakan kekuatan terhadap mana-mana kapal yang berkaitan syarikat yang mengingkari arahan Yaman.

Tambahnya operasi ketenteraan akan diteruskan, termasuk serangan ke atas pelabuhan selatan Israel di Eilat serta laluan perkapalan yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah dan Laut Arab. Kempen ini, katanya, akan berterusan selagi Israel tidak menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan mengangkat sekatan.

Insiden Magic Seas ini menandakan peningkatan besar dalam kempen ketenteraan Yaman yang mensasarkan perdagangan maritim Israel.

Sejak Oktober 2023, Ansar Allah telah berkali-kali menyasarkan kapal yang menuju ke Israel atau berkait dengan syarikat Israel, susulan serangan besar-besaran rejim Zionis ke atas Gaza. -The Merdeka Times

Author

OSZAR »